Mengaumlah Harimau Malaya.. Bukan sekali tetapi berkali-kali.





Assalamualaikum.....

(Isi entry ini adalah hasil daripada pemikiran abah Shiraz - Kamarudin Puteh)

        Terlalu banyak yang telah diperkatakan dan pelbagai analisa telah dibuat, samaada secara bertulis di dada-dada akhbar ataupun dilaman maya, atau yang dibicarakan secara lisan tentang "kegagalan" skuad Harimau Malaya melepasi tahap separuh akhir AFF Suzuki Cup 2012. Semuanya berkisar tentang strategi Datuk Rajagobal, pemilihan pemain, pretasi setiap pemain dan macam-macam lagi, malah sehingga tarikh akhir pendaftaran Liga Malaysia juga diambil kira sebagai punca kegagalan.

Bagi saya sebagai peminat tegar bolasepak Malaysia walaupun sudah bertahun tidak membeli tiket untuk memasuki stadium, saya tetao akan berada dihadapan televisyen setiap kali perlawanan bolasepak yang melibatkan pasukan Negara atau mana-mana pasukan negeri disiarkan, samaada RTM, Astro atau mana-mana saluran. Saya adalah antara insan yang amat kecewa bila perlawanan yang melibatkan pasukan nasional tidak disiarkan dikaca TV, walaupun ianya adalah hanya perlawanan persahabatab. Saya juga adalah pembaca tetap sebarang komen atau ulasan tentang pasuka Negara dan negeri dalam Liga Malaysia di Akhbar kesayangan saya, Utusan dan Mingguan Malaysia yang telah menjadi akhbar tetap saya sejak hampir 40 tahun yang lalu, semasa masih dibangku sekolah.

Berbalik kepada AFF Suzuki Cup yang beru sahaja tamat, maksud saya tamatnya penyertaan Malaysia, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pandangan saya dengan khalayak, berdasarkan pengalaman dan minat saya.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato Rajagobal kerana telah membawa fenomena baru skuad bolasepak negara, sejak memenangi Sukan SEA dan AFF Suzuki Cup musim yang lepas. Sudah lama peminat Malaysia tidak menunjukkan sokongan besar mereka terhadap Skuad Negara sehinggalah skuad Negara menang kedua-dua kejohanan tersebut. Maka ini boleh dianggap suatu yang hebat dan DRG (Dato Rajagobal) berhak untuk berbangga dengan kejayaan tersebut. Dengan kejayaan tersebut, maka beliau juga berhak untuk menerima ucapan tahniah.

Berkenaan skuad yang ada untuk AFF Suzuki Cup kali ini, ingin saya catatkan beberapa kelebihan dan kekurangan, yang saya fikir boleh diambil kira oleh DRG dalam membentuk skuad yang lebih mantap dimasa-masa yang akan datang, khususnya penyediaan pasukan untuk Sukan ASIA 2015.


  • Eksperimen DRG terhadap terlalu ramai pemain adalah baik, namun beliau perlu sedar ianya segelintir sahaja yang boleh didaftarkan. Untuk AFF Suzuki Cup kali ini, hanya 22 pemain yang boleh didaftarkan. Maka ujian terhadap terlalu ramai pemain dirasakan tidak perlu dan menjadi punca kepada kurang yakin pemain untuk dipilih ke skuad 22 orang. DRG seharusnya dapat menilai kualiti pemain atau pemain yang memenuhi citarasanya melalu penglibatan pemain terbabit di dalam Liga Malaysia. Pada saya, angka yang sesuai adalah antara 30-40 pemain sahaja yang perlu dipanggil untuk ujian lanjut.
  • Harapan dan bebanan yang keterlaluan terhadap dua penyerang iaitu Safee Sali dan Mat Yo adalah sesuatu yang membebankan. Ini dapat dilihat jelas bila didalam suatu perlawanan, Safee telah menyepak tanah bila pengerakannya selalu terhalang dan beliau gagal menjaringkan gol. DRG seharusnya mengarahkan pemain lain untuk sama-sama mencuba kearah gol seperti yang ditunjukkan oleh Wan Zack dan Mahali Jasuli. Seharusnya pemain lain juga mampu melakukannya. Memang diakui Kunalan adalah pemain yang baik, tetapi beliau bukannya penjaring dan dilihat takut untuk mencuba, kerana mungkin diarah untuk sekadara mengumpan kepada Safee dan Mat Yo..
  • Tidak dinafikan sepakan bola mati oleh Safik Rahim sememangnya berkualiti tinggi. Namun, kebergabtungan yang keterlaluan kepada beliau untuk menyepak bola mati sebenarnya amat  membebankan dan akhirnya menjadi bencana. Setelah beberapa percubaan gagal, beliau mula hilang tumpuan. Pasukan lawan sudah tentu menganalisa sepakan Safik dan mengambil tindakan perlu bila berhadapan dengan keadaan tersebut. Ini dapat dilihat jelas dalam pertembungan dengan Singapura. Setiap kali berhadapan dengan sepakan bola mati dari Safik, Singapura membariskan pemain tinggi lampai mereka sebagai benteng. Dengan strategi tersebut mereka berjaya menghalang Safik dari menjaringkan gol. Ini berlaku bila bola sedikit tinggi, bola terus melepasi palang, manakala bila bola sedikit rendah, maka terkena kepada benteng. Tidak dinadikan Safik berjaya menghantar bola menuju sasara bila berhadapan dengan benteng pasukan lain yang benteng mereka rata-ratanya rendah walaupun gagal menerjah jaring. Mengikut perkiraan saya, Safik juga pasti gagal jika pasukan Negara bertemu Filipina, yang rata-ratanya tinggi. Untuk yang akan datang bilamana pasukan Negara bertemu Pasuka negara arab atau bekas republik rusia yang kebiasaannya tinggi, DRG harus menukar taktik. Aidil dirasakan lebih sesuai dengan sepakan derasnya untuk membolosi benteng pasukan berkenaan.
  • Berkenaan syor sesetengah piha untuk mencontohi Singapura, Indonesia ataupun Filipina dengan membawa pemain luar, saya agak ragu dengan pendekatan tersebut. Tidak dinafikan Singapura dan Filipina berjaya, tetapi Indonesia gagal. Malah Singapura pun sebenarnya lebih berjaya dengan tenaga tempatan seperti Haris Haro, Baihaki Kaizan dan pejaring prolifiknya, Shahril Ishak. Oleh itu, saya berkeyakinan yang pemain tempatan mampu menonjol dan menjulang maruah Negara jika kena pada caranya. Berika mereka peluang, tetapi suatu yang tidak seharusnya dilupakan ialah saiz badan pemain tersebut. Mereka yang kelihatan menonjok sepanjang AFF Suzuki Cup kali ini rata-ratanya sasa dan tinggi seperti Fadhli Shas, Wan Zack, Mahali dan Safik.
  • Tentang pemilihan pemain, saya rasa DRG tentu arif dan tidak salah rasanya memilih pemain mengikut cita rasanya. Namun, terus terang saya katakan, saya rasa ada dikalangan pemain tengah sebagai enjin pengerakan utama yang lebih baik boleh dari puluhan pemain tengah yang ada di dalam negara. Amar Rohidan dirasakan tidak perlu lagi menepati kehendak pemainan pada masa ini dan beliau perlu diganti.
  • Dalam aspek lain yang perlu diperkatakan, iaitu tempoh pendaftaran pemain untuk Liga Malaysia ditengah-tengah kancah AFF Suzuki Cup, saya rasakan FAM perlu menilai perkara ini. Sedikit sebanyak ianya membebankan pemain, khusunya bila ada kontroversi, sebagaimana yang dihadapi oleh Mat Yo dan Safee. Tetapi jika tarikh akhir dilewatkan sehingga selesai AFF Suzuki Cup pun, ianya mempunyai masalah yang tersendiri. Pemain mungkin lebih mempamerkan kebolehan individu daripada bermain secara berpasukan untuk memikat jurulatih Liga Malaysia yang sedang mengintai mereka.
  • Dalam hal yang melibatkan Mat Yo, Tan Sri Annuar Musa kelihatan seolah-olah menggunakan Mat Yo untuk membalas dendam kepada FAM atas tindakan FAM menggantung beliau. Ini tidak seharusnya berlaku kerana sedikit sebanyak menyentap moral pemain tersebut. Begitu juga dengan kes Khairul Fahmi Che Mat a.k.a Apek. Beliau tidak seharusnya mengambil kesempatan atas populariti beliau untuk mengumumkan perkahwinan sewaktu kancah AFF Suzuki Cup sedang hangat. Pihak pasangan beliau seharusnya lebih sensitif dalam soal ini dan pihak pengurusan seharusnya mampu untuk menasihati peasangan ini. FAM perlukan pakar psikologi untuk merawat pemain yang berhadapan dengan masalah demikian. Akibatnya, pretasi Apek merudum. Malaysia bernasib baik bila Farizal Marlias berjaya memberikan persembahan terbaiknya sepanjang kejohanan berlangsung.
Berbalik kepada perlawana terakhir menentang Thailand, dapat dilihat beberapa perkara yang nyata menjadi pennyumbang kepada kegagalan skuad negara, antaranya.
  • Penglibatan pengadil yang nyata berat sebelah merupakan penyumbang utama keatas kegagalan skuad Harimau Malaya. Beberapa kad kuning yang diberikan adalah terlalu awal dan ini mengakibatkan Fadhli Shas menerima kad merah.Pengadil yang baik adalah pengadil yang mampu sama-sama menyumbang kepada permainan yang menghiburkan, disamping tugas utamanya untuk menentukan undang-undang permainan dipatuhi semua pihak. Tidak dapat dinafikan, tindakan Fadhli Shas yang dilihat 'melawan atau bertelagah'  dengan pemain Thailand adalah merupakan suatu kesalahan. Namun dapat dilihat juga, pengadil seolah-olah "terpaksa" mengeluarkan kad merah setelah menyedari yang beliau telah memberikan kad kuning yang kedua kepada Fadhli. Pengadil kelihatan teragak-agak kerana menyedari beliau telah membuat kesilapan yang boleh "menghancurkan" perlawanan, Bila beliau merasakan pemain Thailand perlu diberikan kad kuning, kad yang sama perlu diberikan kepada Fadhli yang dilihat sebagai "bertindakbalas" terhadap pemain Thai. Seharusnya, pengadil tersebut sedar, memberikan kad kuning kepada Fadhli bermakna beliau perlu memberikan juga kad merah, dan itu sepatutnya tidak perlu kerana kesalahannya yang amat kecil. Memberikan kad kuning kepada hanya pemain Thailand sudah tentu dilihat tidak adil. Atas prinsip pengadil seharusnya membantu agar peminat terhibur dengan permainan walaubagaimana tegangnya sesuatu perlawanan, kedua-dua pemain seharusnya diberi amaran keras. Pemain boleh saja diberikan kad kuning atau terus kepada kad merah jika bertindak diluar peraturan selepas itu.
  • Keadaan padang juga merupakan suatu elemen penting untuk permainan cantik dan menghiburkan. Padang pada malam tersebut amat buruk. Pemain kelihatan terbabas setiap kali membuat turning dan permain pertahanan menjadi mangsanya bila diasak bertubi-tubi oleh pihak lawan. Pemain pertahanan kita acap kali terbabas dan gol pertama yang dijaringkan oleh pemain Thailand adalah berpunca daripada keadaan itu. Memang diakui padan yang lembut baik untuk meminima kecederaan pemain, tetapi padang yang terlalu lembut seperti dilihat pada malam itu sebenarnya mengganggu pemain. Pihak penganjur, khususnya FIFA dan AFC semestinya arif dalam soal ini. 
  • Strategi yang digunakan oleh DRG juga sebenarnya menyumbang kepada kekalahan skuad Harimau Malaya. Tidak dapat dinafikan DRG berhadapan dengan pemain yang terhad, akibat kecederaan dan ada pemain yang sakit akibat keracunan makanan. Tetap DRG masih bernasib baik bila kad kuning yang diterima sewaktu pusingan awal tidak diambil kira diwaktu peringkat separuh akhir. Jika tidak DRG pasti lebih menderita. Walau dalam keadaan demikian, tindakan DRG membawa penyerang solo, sama sewaktu separuh akhir pertama di Kuala Lumpur pada saya adalah satu kesilapan besar. Thailand dapat menghidu strategi DRG dan mereka mengambil kesempatan tersebut untuk mencari gol awal sebelum DRG merubah pasukan dengan memasukkan Safee si sepertiga akhir perlawanan. Tindak balas Thailand dilihat berjaya dan membuatkan pertahanan Harimau Malaya diasak dan memenatkan. Malapetaka sebenarn yang amat ditakuti hadir bila Fadhli Shas dikenakan kad merah, Harimau Malaya kehilangan benteng penting dan DRG sudah tentu tidak dapat bertindak wajar dengan memasukkan pemain  penyerang sebagai ganti kerana struktur yang ada sudah menjadi tidak sesuai. Menarik Amar Rohidan kebelakang sebagi benteng sebenarnya memberikan ruang dibahagian tengah, Akhirnya terjadilah seperti yang kita semua lihat, dimana pintu gol negara dibocori dua kali dalam masa beberapa minit berselang. Seharusnya DRG tidak menggunakan strategi yang sama seperti separuh akhir pertama di Ibu Negara. Gunakanlah apa saja yang ada di dalam skuad, umpamanya menggunakan Mahali (sekadar menyebut nama) untuk berkembar dengan Mat Yo dan saya yakin jika itu dilakukan, jurulatih Thailand akan terperangkap dan sukar membaca strategi pasukan kebangsaan, pasukan kebanggaan saya dan jutaan peminat. 
Semua yang lain pada malam tersebut adalah sempurna. Pengacaunya adalah pengadil dari Korea dengan kad kuningnya yang kedua kepada Fadhli Shas. Ini mengingatkan saya kepada skuad Negara yang menjadi mangsa pengadil Australia beberapa tahun yang lalu.
Akhirnya, apapun yang berlaku, saya masih yakin masih ada sinar kejayaan buat skuad Negara, khususnya bila kita mempunyai barisan berkualiti dalam skuad Harimau Muda A yang sekara ini dibawah bimbingan Ong Kim Swee serta barisan pelapis Harimau Muda B yang sedang di dalam proses pembentukan dan pemantapan. FAM seharusnya lebih berani mencuba pelbagai strategi dan saya yakin dengan minat dan sokongan yang ada, FAM tidak akan berhadapan dengan masalah kantung yang kosong kerana banyak organisasi di liar sana yang sudi menaja skuad Negara.

Selamat berjaya. Mengaumlah Harimau Malaya sekuatnya. Kalau Garuda boleh kecut, kenapa tidak si gajah, sang singa atau anjing liar Filipina yang jauh lebih kecil.