Rentetan kes Pekida mahu saman Syamsul Yusof Part 4



KUALA LUMPUR: “Saya mahu berpesan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), jangan terlalu menggunakan publisiti untuk mengecap glamor. Malah, hentikanlah isu hentam-menghentam ini.
“Jika ada masalah berlarutan, kedua-dua pihak harus duduk berbincang di meja rundingan dan bukan tuduh menuduh bagi meraih publisiti,” kata penyanyi dan pelakon, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 43.


Awie yang dihubungi Metro Ahad bagi mengulas isu saman yang ingin dikeluarkan Pekida terhadap Datuk Yusof Haslam dan David Teoh kerana mendakwa filem Kongsi dan KL Gangster mendedahkan kod rahsia pertubuhan itu, tidak bersetuju dengan tindakan pertubuhan terbabit.


Penyanyi rock yang pernah terbabit dengan pertubuhan berkenaan menasihatkan kedua- dua pihak mendapat persetujuan secara bertentang muka dan bukan dengan provokasi antara satu sama lain.


“Saya ingin menasihati Syamsul (pengarah filem KL Gangster) jika benar dia melakukan kesalahan, mohon maaf kepada mereka. Lagipun, manusia tidak pernah lekang daripada melakukan kesilapan,” katanya.


“Ia tidak menjadi isu jika kita yang meminta maaf terlebih dulu. Walaupun kita tidak buat salah, namun perkataan maaf itu dapat menutup segala prejudis dan mengembalikan silaturahim.




“Kepada Pekida pula, tidak perlulah melenting. Lagipun, perkataan Abang Long, Ayahanda, Kak Long dan sebagainya adalah ungkapan biasa. Dalam kehidupan kita sehari-harian juga perkataan itu sering disebut.


“Ia adalah bahasa Melayu dan kita sebagai orang Melayu tidak terlepas dengan semua perkataan dan panggilan itu. Jadi, rasanya ia bukan satu isu besar dan tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya